Kisah Runtuhan Ais Di Dalam Peti Sejuk Dan Epal Keras Membatu

Yusuf Baradar
0

Kisah Runtuhan Ais Di Dalam Peti Sejuk Dan Epal Keras Membatu

Orang rumah tanya. Ais di bahagian beku peti sejuk tiba-tiba runtuh. Takat suhu beralih dari volum tiga kepada dua — macam ada orang ubah. Bila saya kata saya tak sentuh mod itu, serentak kami jengah muka Hanani yang sedang makan nasi. Wah, cepat saja si kecil ini menafikan dengan memberi gerak isyarat telapak tangan tanda dirinya tidak bersalah.


"Tak, Hanani tak buat!" kata si kecil ini.


Buah Epal Keras Macam Batu


Saya bilang dekat isteri, masa kecik-kecik dulu, saya pun suka usik volum darjah peti sejuk. Pernah sekali tangan ini pulas ke tahap beku. Habis sayur, buah keras membatu. Pulang saja emak ke rumah, dibukanya peti sejuk kerana mahu makan epal. Ketika baru memberi gigitan pertama, emak berteriak mengaduh sakit gigi kerana buah tersebut tak lut digigit — sebab ia sudah keras macam batu!


Maka, dipanggilnya kami tiga beradik ke dapur untuk disoal siasat. Kedua abang dan kakak masing-masing menunding jari ke arah saya sebagai pelaku utama. Walaupun menggemeretak gigi ketakutan, sampai kesudah saya tak mengaku. Haha.


"Ibu rasa Hanani yang buat," telah isteri.


"Dia takut nak mengakulah tu," sahut saya tersenyum.


"Sama macam abah dia."


Kahkah!


Mengaku Pusing Suhu Peti Sejuk


Selepas beberapa jam proses rundingan berjalan, akhirnya malam tadi Hanani mengaku pusing suis suhu peti sejuk. Katanya nak cairkan makanan. Kecil mata saya tenung si kenit ini. Melihatkan itu, dia terus ketawa dan berseloroh,


"Jangan marah eh. Hahaha..."


Oh, gelak ya. Sekejap lagi abah bancuh susu kambing, bubuh gam arab banyak-banyak. Biar kau terkencing-kencing satu hari ni. Siaplah!


Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.

Catat Ulasan (0)