Kompilasi Gelagat Abah: Bahagian 2

Yusuf Baradar
0

Kompilasi Gelagat Abah: Bahagian 2


Ini adalah kompilasi gelagat saya yang dikumpulkan dari hantaran Facebook saya sedari bulan Januari 2017 sehingga Jun 2017. Bahagian 2 ini menampilkan cerita pengalaman berumah tangga, kisah lucu bersama adik-beradik dan juga fiil nakal abah semasa kecil.


Bingung Beli Halia Di Farmasi

23 Januari 2017

Pulang dari farmasi tadi, puan isteri minta saya membelok ke kedai runcit di hadapan sana. Katanya mahu membeli halia. Maklumlah, di rumah halianya sudah habis digunakan buat memasak rendang dan juga sup.

"Masa pergi ke farmasi tadi, mengapa tak beli (halia) sekali?" tanya saya.

"Sejak bila pula farmasi ada jual halia?" soal puan isteri kebingungan.

Melihatkan ini, saya terus parkir kereta di hadapan kedai runcit. Yelah, kata orang, kalau mahu dapur kekal berasap dan makanan berhidang di atas meja, turutkan saja kata mereka. Tak usah berani-berani melawan orang perempuan. Kelak menderita. Haha.


Pelanggan Restoran Pesan Air Kosong
31 Januari 2017

Ketika kami sedang menunggu hidangan datang ke meja makan di sebuah restoran, ada seorang pelanggan wanita dengan selamba memesan air kosong kepada saya. Bingung dengan keadaan itu, saya berseloroh.

"Saya pun pelanggan kedai makan ini jugak, kak."

Pelanggan tersebut berulang kali meminta maaf. Wajahnya tersipu-sipu malu. Mata saya melirik ke arah puan isteri yang sedang ketawa kecil. Apalah nasib saya hari ini. Hendak dikatakan tidak kacak, jauh sekali. Hendak dikatakan tampan, hairan juga kalau ada orang tidak boleh beza yang mana tukang masak dengan yang mana tukang makan. Haha.


Mengelak Teman Puan Isteri Tonton Drama
2 Februari 2017

Entah musim apa, puan isteri mengajak saya menonton televisyen di ruang tamu. Katanya, drama Sayang Papa Saya Tak? sudah berjalan ke episod yang terakhir. Biasalah orang lelaki. Bukan semua suka melayan cerita begini. Saya mengelak dengan beri alasan penat. Demi menguatkan lagi penolakan ini, saya tanya,

"Eh, bukankah cerita itu sudah habis? Sekarang sudah jam 10 malam."

"Abah, cerita itu mula pukul 10 malam lah."

Ah, sudah. Ingatkan berjaya mengelat tadi. Sekali sudah terperangkaplah. Tanpa membuang masa, saya terus buat-buat tidur. Selamat. Kahkah!


Kena Lutu Dengan Abang Sebab Ketawakannya Ketika Mengaji
4 Februari 2017

Saya teringat masa sekolah rendah dahulu. Setiap pagi pada hujung minggu, kami adik-beradik akan bergilir-gilir belajar mengaji dengan ayah. Biasanya, giliran abanglah yang pertama supaya dia tiada helah untuk mengelat atau sembunyikan diri. Ini diikuti kakak dan kemudiannya saya.

Hendak dijadikan cerita, ada suatu hari itu, ayah berulang kali meminta abang membetulkan bacaannya. Banyak hukum tajwid yang salah dan makhrajnya tidak disebut dengan baik. Jadi, saya dan kakak yang duduk di luar pintu bilik ini mengekek mentertawakan abang.

Ingatkan dia tidak perasan. Rupanya, habis saja mengaji, abang bangun dari kerusi, berjalan ke arah kami dan tangannya terus melutu kepala kami berdua. Aduh! Sakitnya bukan main lagi. Geram betul dengan orang ini. Siapa suruh baca tergagap-gagap. Padan muka. Haha.


Guna Wallpaper Virus Brontok Sebagai Desktop Background
21 Jun 2017

Rasanya, cerita ini agak kelakar. Masa kakak belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dahulu, komputernya dijangkiti virus bernama Brontok. Virus komputer ini menular melalui perkongsian fail-fail dari pendrive sesama pelajar di sana. Banyak dokumen yang rosak dan tak boleh dibuka disebabkan hal ini.

Bayangkan, daripada gambar-gambar, lagu-lagu berformat mp3, video-video dan segala macam tugasan berdokumen Word, Powerpoint dan juga Excel tidak dapat diakses. Malah, semua ini bertukar menjadi gambar yang berlatarbelakangkan warna hijau dengan tulisan beramaran, "Kiamat sudah dekat".

Ketika kakak terbawa pulang virus ini ke komputer di rumah, saya yang begitu naif ketika itu telah menukar wallpaper tersebut menjadi desktop background. Kononnya mengambil ayat "Kiamat sudah dekat" sebagai pedoman hidup. Melihatkan itu, maka pecahlah ketawa kakak di dalam rumah. Berhari-hari perbuatan saya itu menjadi bahan usikannya di depan emak. Adeh!


Nampak Santun, Tapi Nakalnya Ya Ampun
25 Jun 2017

Inilah dia budaknya. Suatu ketika dahulu, semasa dia masih bertubuh kecil, banyak juga ragamnya yang memeningkan kepala semua orang. Sebut saja, budak yang kencing di belakang sofa, dia. Budak yang melanggar mati ayam jiran, dia. Bahkan, budak yang membaling batu ke rumah orang dan yang bermain mercun sehingga terbakar bangsal juga adalah dia.

Dia itu adalah saya. Maklumlah, perangai anak ketiga biasanya begitu. Nakalnya jika dituliskan semua, nescaya berasa hendak cekik-cekik saja. Haha.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan "Selamat hari raya Aidilfitri" kepada semua pembaca. Jika ada salah dan silap di dalam penulisan, saya memohon ribuan kemaafan. Kepada mereka yang mengenali saya di luar, seribu keampunan dipinta.

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.

Catat Ulasan (0)