
Di tengah hingar-bangar sebuah pasar, ada seorang lelaki sedang sibuk mengangkat dan menyusun barang-barang dagangan basahnya—ikan-ikan laut—di atas meja. Hari itu merupakan hari pertamanya menjadi seorang penjual ikan di pasar, di sebuah pekan kecil; tidak jauh dari tempat berlabuhnya kapal-kapal nelayan.
Di sebalik keriuhan pasar pagi itu dengan suara penjual bersahut-sahutan, peniaga baru itu memegang sambil merenung sekeping papan dengan penuh harapan. Dia mengimpikan sebuah peniagaan kecil yang dapat menampung kehidupan keluarganya yang miskin dan juga menanggung biaya persekolahan anak-anaknya kelak.
Usai mengemas, dia menulis di atas papan tersebut sebaris ayat, "Ikan Segar Dijual Di Sini Hari Ini" sebagai cogan kata. Dengan hati gembira, dia menyangkut papan tanda tersebut di hadapan meja jualannya sambil menunggu pengunjung datang.
Setiap Perkataan Pada Papan Tanda Dipersoalkan
Tidak berapa lama kemudian, seorang pembeli pertama mendekati gerainya. Dia membelek ikan-ikan yang segar itu, bertanyakan jenis dan timbangannya sebelum membayar harga ikan-ikan yang telah dipilihnya. Sebelum beredar, pembeli pertama itu bertanya, "Mengapa kamu tulis 'Hari Ini' pada papan tanda? Bukankah kamu memang sedang berjualan sekarang ini, bukannya semalam ataupun esok hari?"
Dalam keadaan terpinga-pinga, penjual itu mengangguk-anggukkan kepalanya dan terus menggantikan tulisan tersebut kepada "Ikan Segar Dijual Di Sini". Ketika dia sedang membetulkan kedudukan papan tanda itu, pembeli kedua pun datang lalu memilih ikan-ikan kesukaannya. Setelah melunaskan bayaran, pembeli kedua itu melihat papan tanda tersebut seraya bertanya, "Mengapa kamu tulis 'Di Sini'? Bukankah kamu memang sedang berniaga di sini, bukannya di sana?"
Penjual ikan itu sekali lagi menganggukkan kepalanya dan memadam perkataan "Di Sini". Setelah pembeli kedua tadi berlalu, datang pula pembeli ketiga. Dia melakukan hal yang sama—membeli dan kemudian mengkritik 'kesalahan' pada papan tanda tersebut. Dakwanya, perkataan "Dijual" sama sekali tidak wajar digunakan lantaran semua peniaga di pasar itu sedang menjual barang dagangan masing-masing, bukan memberikannya percuma kepada orang ramai.
Mula Terganggu Dengan Teguran Melulu
Akur dengan hujahan tersebut, peniaga ikan itu menggantikan dengan papan tanda baru yang bertulis kalimat "Ikan Segar". Belum sempat dia menggantungkan papan tersebut, seorang pengunjung pasar melintas di hadapan gerainya lalu membetulkan 'kesalahan' barunya.
'Apa pula yang salah kali ini?' bisik penjual ikan itu di dalam hati. "Saya hendak cakap sedikit, bukankah kamu memang sedang menjual ikan-ikan yang segar? Jadi, kamu tak seharusnya menulis perkataan 'Segar' kerana kamu bukannya sedang menjual ikan-ikan yang busuk. Betul tak?" tegur pengunjung gerai tersebut.
Penjual ikan itu menggelengkan kepalanya. Walaupun hatinya tidak berapa setuju dengan pandangan tersebut, namun dia tetap memadamkan perkataan "Segar" daripada papan tanda itu. Ketika hatinya sedang mengomel dengan karenah pelanggan-pelanggan yang datang, seorang pengunjung lain merapati meja jualannya.
Kali ini dia merenung wajah pengunjung itu dengan pasrah, setelah mendapati orang itu berkerut-kerut meneliti papan tanda yang hanya bertuliskan perkataan "Ikan" sahaja. Dengan wajah geram, pengunjung itu menghunjam kata-kata yang menusuk sanubarinya, "Mengapa kamu tulis 'Ikan' pada papan tanda ini? Bukankah semua orang tahu kamu memang tengah menjual ikan, bukannya sayur, unta ataupun kambing? Bukan-bukan saja kamu ini!"

Berhenti Berniaga Kerana Makan Hati
Tersentak dengan kecaman itu, penjual ikan tersebut terus melempar papan tanda itu ke dalam tong sampah. Hatinya marah bercampur bingung dengan apa yang telah berlaku. Siapa sangka, sejak itu, meja jualannya sepi dan tiada pengunjung datang menyinggah kerana gerainya sudah tidak lagi berjaya menarik perhatian pembeli. Beberapa hari kemudian, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi menjual ikan di pasar.
Pelajaran Hidup
1
Setiap orang tidak akan terlepas daripada penilaian dan kritikan manusia. Walau apa pun yang kita lakukan, walau bagaimana sekalipun keadaan diri kita, kita akan sentiasa dihakimi oleh orang lain.
2
Penilaian yang baik membuatkan kita berasa bangga dan lebih bersemangat. Namun, penilaian yang buruk seringkali membuat kita berasa malu, tersinggung dan sakit hati, bahkan berasa patah semangat.
3
Kita tidak mampu mengawal mulut (kata-kata) orang. Namun, kita boleh menyaring perkataan-perkataan yang masuk ke telinga serta mengawal tindak-tanduk kita agar tidak tersalah langkah.
4
Tak usah biarkan orang lain mengubah arah hidup yang telah kita tetapkan. Jadikan kritikan itu sebagai pengajaran, namun, tetaplah melangkah dengan apa yang telah kita yakini sepenuh hati.
Yusuf Baradar
Lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan.
Lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan.
Teguran biasanya dibuat untuk membetulkan kesilapan dengan niat yang baik. Nada teguran selalunya lebih lembut, sopan dan membina. Kritikan pula adalah komen atau penilaian terhadap sesuatu kelemahan, tetapi nada dan caranya boleh jadi lebih keras atau tajam; kadang membina, kadang menjatuhkan.

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.