Anak-Anak Dikejar "Puntianak" Di Sekolah, Inilah Cara Kami Atasi Ketakutan Mereka Pada Waktu Malam

Yusuf Baradar
16
Anak-Anak Dikejar "Puntianak" Di Sekolah, Inilah Cara Kami Atasi Ketakutan Mereka Pada Waktu Malam

Bulan lepas, rumah kami riuh dengan cerita pasal hantu. Maklumlah, anak-anak semuanya sudah merasa pengalaman dikejar "puntianak" dan "hantu pocong" di sekolah. Makanya, terpaksalah kau menadah telinga mendengar cerita detik-detik mereka menghadapi "hantu jadian" di rumah hantu sepanjang minggu.

Pada asalnya, kami agak keberatan kerana semua sedia maklum, Hanani dan Yusuf Jr. alah dengan gelap. Kau bayangkan, ketika matahari tegak di atas kepala pun, mereka masih berkira-kira hendak masuk ke bilik gelap atau ruangan yang tidak berlampu, apatah lagi ketika di waktu malam.

Oleh kerana dua beradik ini beriya benar memujuk, akhirnya kami mengalah. Mereka dibenarkan masuk ke rumah hantu pada Hari Karnival Kokurikulum di sekolah dengan bersyarat. Berbekalkan wang tunai empat ringgit, mereka telah "membeli" pengalaman seriau yang sukar dilupakan.

Dikejar Hantu Puntianak

Cerita Hanani, dia masuk ke rumah hantu bersama sembilan orang rakan kelasnya. Sehari sebelum itu, mereka sudah mengatur-ngatur siapa yang harus berada paling hadapan dan siapa yang patut berjalan paling belakang — kononnya dua posisi ini hanya untuk mereka yang paling berani.

Yang kelakarnya, mereka semua seperti ayam berak kapur apabila disakat makhluk berwajah hodoh di bawah meja, lalu menjerit ketakutan sambil berlari keluar apabila dikejar oleh "puntianak" pula dari belakang.

Hantu Mengerang Meminta Tolong

Cerita Yusuf Jr. tidak kurang hebatnya. Dia menjadi kumpulan pelajar sesi petang yang terawal menjelajah ke rumah hantu tersebut. Dia, malah, nampak begitu yakin ketika berdiri di hadapan pintu masuk ke "alam ghaib" dengan wajah paling berani. Malangnya, gaya kesateria itu tidak lama.

Katanya, keberanian mereka hilang entah ke mana ketika "hantu-hantu" itu bermunculan di sebalik tabir hitam. Ada yang melompat-lompat seperti "hantu pocong", dan ada yang mengilai-ngilai seperti "puntianak". Tambah si kecil ini lagi, dia hampir menangis apabila bajunya direntap "puntianak" tersebut sehingga beberapa butang kemeja sekolahnya terbuka.

Dalam suasana yang seram itu, kumpulan mereka bertambah cemas apabila sekali lagi salah seorang daripada mereka ditarik "hantu" dengan erangan suara meminta tolong. "Bang, tolong bang!" usik "makhluk" tersebut. Sudahnya, mereka bertempiaran lari bagaikan tidak cukup tanah sambil melolong ke pintu keluar.

Rumah Hantu Catat Kutipan Tertinggi

Celotehan dua beradik ini diselang dengan tawa menggelekek kami. Omongan mereka tidak bersahaja, malah bersela emosi, terkadang jenaka. Aku mengira, kesungguhan pihak sekolah mengurus dan menyusun program ini harus dipuji.

Mereka mendapat laba tidak hanya dari penjualan makanan dan minuman, malah aktiviti menarik yang pelbagai seperti Soopa Doopa, Giant Bubble, Air Hockey dan Sony PS4 turut menggandakan hasil. Kata puan isteri, rumah hantu adalah atraksi paling popular yang menjadi penyumbang kutipan tertinggi.

Ada sekolah yang berjaya meraih pendapatan berbelas ribu ringgit hanya dalam tempoh lapan jam mengoperasikan "dunia mistik" ini. Keuntungan luar biasa ini diibaratkan seperti "tidak berluluk mengambil cekarau", kerana pihak sekolah memperoleh untung tanpa perlu berlelah atau bersusah payah.

Denda Jika Takut, Cuba Takutkan Orang Lain

Menjelang senja, aku mengingatkan anak-anak tentang syarat-syarat yang telah mereka persetujui sebelum menjejak ke rumah hantu. Pertama, mereka tidak boleh menjadi lebih penakut daripada yang sebelumnya. Sekiranya ini berlaku, mereka perlu membayar denda RM5.00 seorang. Yang kedua, mereka tidak boleh menakut-nakutkan sesiapa dengan cerita-cerita hantu. Jika syarat ini dilanggar, denda akan digandakan menjadi RM10.00.

Nampaknya, kaedah ini berkesan. Mereka begitu berwaspada menjaga tingkah laku walaupun terpaksa "berani lalat" di tengah malam. Rupanya, hukuman denda ini lebih menakutkan daripada bayangan "hantu" itu sendiri.

Malam itu, aku berjaga sehingga lewat malam kerana hendak memastikan mereka semua tidur lena. Iyalah, bila siang sudah nampak "hantu", takut malamnya ada pula yang meracau mengapur.


Yusuf Baradar
Kalau tak cukup tidur, silap-silap aku pula yang "naik hantu"

Gangguan makhluk halus? Amal baca seluruh Surah Al-Baqarah, pasang ayat ruqyah, amal baca ayat Kursi dan tiga Qul sebelum tidur. Dapatkan rawatan di Pusat Rawatan Darussyifa' jika masalah berlarutan.

Catat Ulasan

16Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.

  1. ingatkan kena kejar hantu betul, hihi.
    teringat masa sekolah dulu masuk rumah hantu. menjerit mcm orang tak betul. padahal dah tentu2 hantu tu semua senior sekolah je xD zaman sekarang agaknya masih ada buat rumah kat sekolah tak..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya pun baru tahu, hantu-hantu ini rupanya pelajar senior dengan cikgu sekolah. Kemain mereka sakat budak-budak junior ni. Haha

      Padam
  2. Baca awal-awal tu ingatkan betul. Dah nak kagum dah sebab masing-masing macam pemberani ada pengalaman. Rupanya cerita masuk rumah hantu. Tapi yang kelakar tu denda tu lagi menakutkan dari hantu.

    Pengalaman masuk rumah hantu ni, sekali tu je lah pernah masuk masa rombongan sekolah. Lepas tu tobat taknak masuk walaupun tahu hantu jadian. Menjadi betul dorang menakutkan orang. ish ish ish...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah, punya seriau budak-budak ni kena sergah dengan hantu, sampai ke besok tak habis lagi duk ulang ayat puntianak, "Bang, tolong bang!". Haha

      Padam
  3. Salam singah, first nak follow blog baru saya kenal ni..semoga sentiasa segar berblog ya..terbaik blog..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih ya bang etuza sebab singgah ke sini. Salam kenal daripada saya

      Padam
  4. Thank you so much for sharing this.
    I also want to thank you for your visit and kind comment on my blog. I really appreciate it. 🙏
    Warm greetings from Montreal, Canada ❤️😊 🇨🇦

    BalasPadam
    Balasan
    1. You’re most welcome. It was my pleasure to visit your blog too 😊

      Padam
  5. Kreatif sekolah sekarang, masa hari Usahawan sekolah anak dulu, ada aktiviti naik kuda, yang sewa Soopa Doopa tu, memang meriah. Terima kasih atas perkongsian tips paling bawah tu, ya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekolah sekarang kreatif mencari dana. Meriah hari usahawan, hari kantin dengan macam-macam aktiviti. Terima kasih juga ya kerana sudi membaca di blog ini

      Padam
  6. Walaupun masuk rumah hantu, tetap takkan masuk.

    BalasPadam
  7. Salam kenal..memablas kunjungan...terima kasih singgah blog saya ye....acik takut nak masuk rumah hantu nak uii...xpe la x masuk pun,.x rugi rasanya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kenal juga ya kak suria. Saya pun tak berani nak masuk rumah hantu. Haha

      Padam
  8. Hahahahahahah hebaaat sekolahnya bisa buat rumah hantu yg benar seram 😄😄👍. Anak2 pun jadi teringat terus yaaa. Anak saya termasuk yg tak berani masuk rumah hantu 😆. Tapi kadang memang perlu sih untuk melatih keberanian. Tapi anehnya, mereka takut masuk rumah hantu, namun berani nonton film horor 😅😅

    BalasPadam
    Balasan
    1. Benar, kak fanny. Anak-anak ini perlu dilatih keberaniannya agar tidak takut masuk ke rumah hantu dan juga tidak takut menonton filem horror

      Padam
Catat Ulasan