Patutlah masa kemari itu hari, harga buah melambung. Rupanya musim kali ini mereka terpaksa beli sendiri stok di pasar borong. Pembekal di sana pula tolak dengan harga tinggi. Merasalah kami rambutan merah sekilo RM14. Padahal sebelum ini boleh dapat 3 kilo RM10.
"Banyak buah kat gerai ini kami ambil sendiri di negeri-negeri lain. Macam jambu batu ini ambil dari Perak, mata kucing ini ambil dari Kedah. Yang pisang ini pula dari Pahang," beritahu peniaga tersebut.
Tambahnya lagi, para pembekal buah di sekitar Hulu Langat sudah tak hantar buah ke sini sebab tahun ini buah-buahan di sini tak menjadi. Yang buah cempedak berlambak-lambak ini pun pembekal luar yang hantar. Saya lihat ada tiga jenis cempedak; cempedak kampung, cempedak madu dan cempedak kahwin.
"Cempedak kahwin ini sedap dik. Kita kahwinkan dengan buah nangka. Tapi rasa dia tak boleh lawan manis cempedak madu. Dua-dua sama harga, sekilo RM10. Kalau adik nak cempedak kampung, kakak bagi RM5 sekilo."
Fuh, menggigil tengok cempedak. Teringat dulu petang-petang lepas balik sekolah agama, nenek masak cempedak goreng panas-panas. Sedap woih.
Masa berganjak mahu pulang, saya sempat menoleh ke gerai itu lagi. Terlihat wajah sugul kakak tersebut memandang sayup tubuh kami di dalam kereta. Seolah berharap agar musim buah akan datang tidak bersempudal malang seperti ini lagi.
Pasang Surut Lumrah Kehidupan
Kawan-kawan, inilah lumrah hidup. Ada waktu menasib, tanah begitu subur dan pepohon tak henti merimbunkan buah-buahannya hingga tak habis kita makan. Ada waktu merudum, tanah seolah merajuk dan pepokok sedikit pun tak mahu beri hasil.
Di saat inilah, para asatizah berpesan, supaya kita belajar reda bersulam syukur atau sabar. Masa senang, kita harus reda dan syukur. Masa sukar, kita harus reda dan sabar. Tautan kedua-dua elemen ini perlu ada agar hati ini terdidik menerima segala ketentuan Allah dengan rela jiwa.
Relakan jiwa pada-Nya kerana yang menjadikan segala sesuatu adalah Dia. Pemegang tampuk rezeki segala makhluk. Di langit dan di bumi.
Yusuf Baradar
Menangislah bila harus menangis kerana kita semua manusia.


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.