Kalau di luar rumah, kami hemat jugalah buat aktiviti. Pastikan wajah berpelitup dan tangan disanitasi. Kalau bab jarak atau lebih-lebih lagi hal sentuhan memang selalu dititikberatkan. Tangan tidak boleh meleser sesuka hati. Asal terpegang saja, basuh. Punyalah waspada.
Jerat Tak Pernah Lupakan Pelanduk
Namun, takdir berkata lain. Hujung Februari lalu, kami positif. Itulah kata orang, jerat tak pernah lupakan pelanduk. Ketika jangkitan mencecah angka 33,000, kami leka menikmati makan malam di sebuah daerah peranginan. Rupanya malam itu kami ditemani musuh paling digeruni manusia. Coronavirus.
Dua hari kemudian, puan isteri mengadu. Kepalanya sakit bukan biasa. Suhunya juga mendadak panas. Keputusan kit ujian kendiri memberi jawapan yang mengejutkan. Akhirnya, seorang demi seorang daripada kami disahkan positif.
10 hari kami bertarung di dalam rumah. Perangkat seperti termometer dan oxymeter menjadi alat meninjau musuh. Ubat-ubatan semisal suppository dan paracetamol menjadi senjata menumpaskan musuh yang tidak nampak. Siang dan malam. Memang memenatkan.
Seperti biasa, emaklah yang paling risau. Memandangkan hanya kami berdua saja lengkap bervaksin, kebimbangan ahli keluarga tertuang kepada anak-anak. Kau bukan tak tahu apa akan jadi kalau cucu-cucu kesayangan nyayi ini tidak sihat. Maka, berbakul-bakul petua dan nasihat kau dapat.
Sebut saja petua air cengkih-madu untuk dada bernafas lega, petua air asam jawa untuk badan membuang panas, petua air lemon untuk kerongkong selesa sehingga segala macam petua mak nenek kami terima. Haha. Kami jalani saja semuanya dengan baik.
Menjadi orang terakhir yang dijangkiti, aku bersyukur sangat sebab bergejala ringan. Cuma usaha menurunkan suhu anak-anak dari 39°c kepada paras normal benar-benar menguji. Beruntung rasanya bila ada bantuan dan sokongan ahli keluarga. Mereka bersama di saat ujian melanda.
Serik Makan Di Luar
Terlepas dari musibah pandemik, aku ada bercakap dengan puan isteri. Kami sepakat untuk tidak lagi makan di premis melainkan bungkus sahaja. Penularan wabak melalui bawaan udara (airborne) itu benar ketika kau menurunkan pelitup wajah. Inilah punca mengapa Omicron menjadi tsunami di hampir 90 buah negara, termasuk tanah air kita.
Keupayaannya untuk merebak empat kali ganda lebih cepat berbanding varian Delta. Walaupun dampaknya kurang serius, pakar kesihatan nasihatkan kita supaya sentiasa berhati-hati sebab orang yang sudah ambil vaksin boleh kena COVID-19, dan mereka yang sudah pulih boleh dijangkiti semula.
Muncul Varian Terbaru Dari Thailand
Paling menarik, Omicron rupanya bukanlah varian terakhir seperti yang kita fikirkan. Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beri amaran munculnya varian baru yang bermutasi daripada Omicron; varian XE. Malah, ia sudah pun dikesan di negara jiran kita, Thailand. Hoho!
Hari ini aku yakin, Hanani sudah lebih faham apa itu COVID-19. Bolehlah dia berbagi pengalamannya kepada guru-guru dan kawan-kawannya di dalam kelas nanti. Semoga mereka bijak menjaga diri.
Yusuf Baradar
Inilah harga yang harus kita bayar demi menikmati sebuah kebebasan.


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.