Dua Kiriman Berita Daripada Ayah Buat Hati Aku Luluh Ketika Ekspedisi Dakwah Di India

Yusuf Baradar
0

Dua Kiriman Berita Daripada Ayah Buat Hati Aku Luluh Ketika Ekspedisi Dakwah Di India


Ayah punya dua berita.


"Satu, khabar gembira yang sangat membahagiakan hati ayah, kita sekeluarga. Dan yang kedua, khabar duka. Ayah harap kau tabah dan reda atas ketentuan yang Maha Esa."


Surat yang dikirim ayah ke Markaz Nizamuddin ku buka cermat. Sampul berisi lembaran putih buat hatiku tak henti berdebar. Cuba ku duga hebahan apa yang dinotakan atas helaian ini.


Di masjid Bangle Wali, New Delhi ini, aku adalah di antara ratusan jemaah dari seluruh dunia yang bergerak ke serata India demi kerja agama. Berbaki 40 hari terakhir, route tim kami diputuskan ke Uttar Pradesh bersama Ustaz Najib — antara ribuan warga Malaysia yang menghadiri Ijtima' Tongi di Dhaka, Bangladesh. Ijtima' ini adalah perhimpunan kedua terbesar umat Islam selepas wukuf di Padang Arafah.


Sejak mendarat di lapangan terbang Hazrat Shahjalal, Bangladesh, telefon bimbit sengajaku mati. Renyah melayan sebarang panggilan atau mesej. Tumpuan utamaku adalah menyempurnakan misi agama selama 120 hari di subbenua India tanpa gangguan.


Dua Kiriman Berita Daripada Ayah


Aku amati tulisan tangan ayah. Hatiku teruja bila dimaklumkan kakandaku akan bersalin beberapa purnama lagi. Bakal melahirkan cucu sulung kesayangan emak dan ayah.


Senyuman melingkari bibirku. Helaian janggut panjangku terbuai-buai ditiup angin seolah tangan yang melambai mohon aku segera kembali. Sejenak kalbuku diselimuti rasa terharu. Terbayang wajah comel, gebu bakal anak buah pertamaku.


Namun, bila anak mataku mula menelusuri bait-bait seterusnya, aku terpempan. Air mata mula bergenang, dan akhirnya empangan itu pecah tanpa mampuku tahan lagi. Di ruang wuduk tingkat 4 itu aku menangis sendirian. Teresak-esak bagaikan anak kecil kehilangan ibu. Ku raup wajah ke kertas. Lalu ku pandangi langit melepasi awan biru dengan titisan air mata tak terhenti.


Gema suara ayah bergaung menujah telinga, "Seminggu selepas kau terbang ke sana, nenek yang kita cintai pergi menghadap Ilahi," titip ayah. Tanganku menggeletar. Air mata ku seka ke lengan jubah. Basah. Dengan jejeran hingus cukup membuktikan dada ini sebak menahan sedih yang amat.


Keputusan ke tanah besar ini satu misi tekad. Aku berada dalam dilema sama ada menunggu nenekanda yang sedang gering di Hospital Kajang kembali sihat, ataupun meneruskan ekspedisi dakwah yang ku idam sepanjang belajar di IPT dulu.


Mataku menyorot ke susuk mulia, Hajah Hasiah. Sungguh aku berwalang hati tika meninggalkannya jauh dari pandangan mata pada saat genting ini. Kerana jasad inilah dulu yang berjasa membesarkan kami tiga beradik di rumahnya, Kampung Sungai Raya sepanjang sesi persekolahan. Curahan kasih nenek dan datuk tak terbelah bagi. Makan, minum kami dijaga rapi. Belaian cinta itu jika dinukil takkan pernah cukup untuk ditintakan.


Dan yang paling meruntun hatiku, beberapa detik sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, sempat bertanya kepada ahli keluargaku dengan nada sayu, "Yusuf mana? Yusuf mana?"


Sedangkan aku tiada di sisinya waktu itu.


Allahu.


Tiada kata mampuku ucap.


Pulang Bersambut Air Mata


Hari ini 6 Julai, tarikh keramat. Tarikh kelahiran nenekanda yang aku kasihi. Kepulanganku 7 tahun lalu hanya disambut oleh batu nisan dan kuntuman bunga di pusaranya. Jasad yang ku cintai telah aman bersemadi di alam barzakh.


Moga bertemu kita di syurga sana.



Yusuf Baradar
Sungguh, merindui yang telah pergi takkan pernah terbalas. Hanya tangis dan doa memberi puas.


Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.

Catat Ulasan (0)