Tragedi Kakak Terhumban Ke Perut Sungai Dan Turunnya Pertolongan Tuhan

Yusuf Baradar
2
Tragedi Kakak Terhumban Ke Perut Sungai Dan Turunnya Pertolongan Tuhan

Setiap kali pulang ke kampung emak di Batu Pahat, aku seriau melihat sungai yang mengalir tenang di belakang rumah penternak ayam daging itu. Batang air itu meleser traumaku kepada tragedi kakak terhumban ke perut sungai kira-kira hampir tiga dekad yang lalu.

Kejadian yang berlaku depan mata itu mengingatkan aku kepada babak raungan aku memanggil nama kakak yang sedang berembas nyawa di tengah kali. Aku tidak pasti punca terjadinya peristiwa tragis ini, namun, semuanya bermula ketika kami memutuskan untuk mengayuh basikal tua gemulah datuk mengelilingi desa.

Sepeda usang bertayar pancit itu, kalau rakapnya kau kayuh, ia masih boleh bergerak. Tapi kau bayangkanlah, kaki kami masih terkapai-kapai menyentuh injak-injak ketika punggung sudah berlabuh di atas pelana. Betapa lampainya basikal ini berbanding tubuh kami, sedikit pun tidak merencatkan berahi kedua-dua anak jati bandar metropolitan ini. Kami benar-benar teruja menunggangnya!

Dipersimpangan jalan, aku menyatakan hasrat menyinggah sebentar ke rumah kakanda nenek. Keinginan itu pantas ditunaikan dengan syarat yang satu ini; kau harus menongkah rasa takut melintasi jambatan kayu uzur yang merentangi sungai sambil mendorong basikal tua.

Mahu?

Aku merenung wajah kakak.

Polos.

Rautnya yang bening menzahirkan kesudian untuk menyampaikan basikal ini ke seberang. Dia tahu benar adiknya ini tak kuasa menolak basikal tua berkalung rantai karat, apatah lagi mengayuhnya di atas jambatan rumpang.

"Kau boleh bawa basikal ini?" soalku perlahan sambil menjengah ke muka sungai.

Sungai keruh sedalam hampir sepuluh kaki itu sudah cukup buat aku tak keruan.

"Aku cuba," jawab kakak tenang.

Hati aku ragu dengan balasan kakak, lalu aku tahan hendal sepeda. Aku menyarankan agar kami menyorong basikal ini bersama. Kakak menyisi tanganku ke tepi, menyuruhku berjalan sendiri, manakala dia menginjak belebas jambatan untuk duduk di atas sela basikal.

Krek!

Gigi gegancu yang merengkuh gelanggang rantai basikal membuahkan bunyi kerencang yang mengilukan telinga ketika kakak mula mengerah pedal yang bingal sepenuh tenaga.

Krek, kek! Krek, kek!

Urat hijau yang terpersil di dahi kakak nampak setanding dengan kemaraan basikal. 
Ketika tayar kempis itu mula rancak meniti, aku lihat ia bakal menempuh bahagian kayu tak bergigi. Aku sangka ia mampu melangkaui bilah kayu yang rongak, malangnya, ia terperosok ke dalam sehingga merebahkan sepeda tua ke riba jambatan, manakala kakak terlempar ke dalam sungai.

Ya, Tuhan!

Aku tergamam.

Sejenak sebelum tubuh kakak menjunam ke dalam sungai — ketika dia masih lagi melayang di udara — aku terbayang riak wajahnya ketika kali pertama aku mengajak dia bersiar-siar dengan basikal tua ini.

"Sudah lama aku nak berjalan-jalan dalam kampung ini. Aku nak pergi jauh-jauh, ke Pekan Barat, ke rumah Mak Long. Aku nak tengok sungai yang kita selalu mandi dulu." ujar kakak bernada teruja. 
Cara bibirnya menguntum senyum buat hatiku senang. Aku seronok apabila kakak sudi menemani aku untuk memulakan jelajah kecil di kampung emak ini.

Busshhh!

Bunyi kuat kocakan air mematikan khayalan tadi. Mataku terbelalak menyaksikan tubuh kakak ditelan sungai.

Kakak tenggelam.

Air sungai yang menggelombang memalu arus ke tepi. Ia kemudiannya menyisakan buih-buih halus yang terbersit sebelum hilang daripada pandangan.

...

Jantungku berdetak kencang, menderaukan darah ke seluruh badan. Jasadku menggeletar. Ketakutan yang menyelubungi hati membuatkan budak kecil ini rasa mahu terkencing. Apa yang aku fikirkan saat ini adalah, kakakku telah dibaham hidup-hidup oleh raksaksa besar yang tinggal di dalam air.

Oh, tidak!

Duniaku menjadi gelap.

Aku tidak tahu apa yang harus diperbuat. Kakiku melangkah longlai ke tepi jambatan untuk melihat sungai. Kelibat kakak sedikit pun tak kelihatan.

Aku terpempan.

Belum sempat perasaan buram mengerudungi hati, aku dikejutkan dengan kocakan kuat sekali lagi, yang menghamburkan air ke wajah.

Bushh!

Kakak muncul di permukaan sungai. Terkapai-kapai! Dia seolah-olah dimuntahkan kembali oleh raksaksa air tadi.

"Tolong! Tolong!" Jeritannya menujah telinga sebelum tubuhnya terbenam kembali.

Waktu ini aku harus lekas sebelum kakak lemas. Namun, jambatan yang berdiri empat meter dari paras batang air itu mengekang upayaku. Tangan yang hanya sepanjang dua jengkal orang dewasa ini belum cukup jenjang untuk diraih kepada kakak. Tatkala wajah kakak menyisip di celah gelora sungai, aku segera melaung namanya sekuat hati.

"Kakak! Kakak!" Aku menjerit penuh harapan. Mengharap dia mampu mendayung tubuhnya ke tebing.

Tubuh kakak tenggelam timbul. Arus sungai mengheretnya deras ke tepi perahu kecil yang bertambat di tepi selut hitam. Hatiku merayu agar dia merangkul kekisi perahu tersebut. Itulah satu-satunya harapan yang boleh aku andalkan saat genting ini. Aku bimbang sungai ini menjadi wasilah kakak ke pangkuan Tuhan.

Demi Tuhan, aku tak sanggup hadapi semua ini!

Aku mula menangis.

Aku takut penjelajahan mini ini menjadi sejarah gelap dalam hidupku. Aku tak mahu kehilangan insan yang aku kasihi. Aku tak ingin kembali ke dakapan emak tanpa kakak. Kegusaran yang menerawang di dalam fikiran dan bersarang di dalam hati membuatku menangis keras.

Namun, tangisan itu terhenti tatkala kakak berjaya menyambar kekisi perahu.

"Naik sampan itu, kakak! Naik!" Budak kecil ini menjerit sepenuh tenaga, mengarahkan kakaknya dari jejambat kayu.

Dengan segala kudrat yang ada, kakak sempat menghumbas kaki ke tubir perahu. Namun, nasib tidak menyebelahinya. Perahu itu terkual ke kiri dan ke kanan sebelum menghulur kakak kembali ke dalam sungai.

Aku terpegun.

Tetapi entah mengapa, di saat hatiku dicengkam rasa cemas dan takut, nama Tuhan Yang Maha Perkasa bermunculan dibenakku, sehingga menjadikan hati ini begitu sayu merintih pertolongan daripada-Nya. Hanya Dia sahaja mampu menyelamatkan kakak dari segala marabahaya saat ini.

Hanya Dia.

Ketika sungai memperlihatkan dirinya seakan raksasa yang kebuluran nyawa, maka, ketika itulah pertolongan Tuhan datang menumpaskannya. Bagai sebuah keajaiban, kakak berjaya menggapai tubir perahu. Berbekalkan tenaga yang tersisa, kakinya diranggit sekali lagi ke atas sebelum tubuhnya berjaya dihempas ke dalam perut perahu.

Lolos!

Kakak terbaring penat.

Dia membabarkan tubuh menghadap langit, membiarkan matahari menyimbah cahaya hangat ke wajahnya demi mengusir lokos yang bergenang, namun meninggalkan rimpuh di dalam dirinya. Kakak mengunjukkan telapak tangannya kepadaku, seolah memberi pesan bahawa dirinya sudah terhincit dari celaka.

Aku menghela nafas lega.

Kakak tiba-tiba menjeluak. Mungkin sebab perutnya melembung lantaran tertelan air banyak, dia muntah belalah. Usai membersihkan mulutnya, aku lihat dia perlahan bangun lalu turun dari perahu menyelusuri lalang berlecak sebelum menungkai ke darat.

Sekali sekala dia jalan berjinjit jika terpijak rizom lalang atau duri semalu. Kau lihatlah sendiri, kakinya sudah tidak beralas. Selipar buruknya itu telah jauh dihanyutkan arus ke hilir. Di hadapan adiknya ini, dia berdiri lemah dengan tubuh berkelaring selut dan kaki bersalut lumpur hitam.

Aduh, sungguh sebal kakakku ini!

Ketika aku melihat anak matanya, ada linangan suci. 
Air mata itu cukup ampuh memberitahuku betapa besarnya kasih sayang Tuhan di saat kakak hampir lemas tadi; juga betapa baiknya Dia mengurniakan peluang untuk kakak hidup lagi.

Aku menyisih daun-daun kecil pada wajahnya seraya membisikkan di dalam hati, sungguh aku benar-benar tak mahu kehilangan dirinya; insan yang amat aku kasihi. Kasihku kepada kakak sebesar buana, walau tidak seluas semesta, namun cukup untuk buat dirinya tenteram di kala badai melanda.

"Kau okay tak?" tanyaku penuh sebak.

"Aku rasa hampir nak mati tadi," Itulah yang dijawabnya.

Tulus.

Aku mengesat air mata, menahan hiba yang menerpa. Aku gagahkan hati mengempang tangisan walau sedu-sedan mengusik kuping telinganya. Bagiku, a
nak lelaki tak harus membentang sedih di hadapan wanita, waima saudara perempuannya. Begitulah.

Angin yang menderu waktu ini tidak hanya mengalunkan rambut kakak yang basah, malah menghembus pergi semua duka. 
Aku merenung wajah kakak. Keheningan parasnya menjernihkan gusarku. Jauh di sudut hati, mahu sahaja aku memeluknya erat, sebagai ungkapan rasa gembira.

Juga rasa takjub. Dengan semangat juangnya!

...

Basikal tua itu kami dirikan bersama. Beratnya ya ampun, mahu tergeliat tangan dibuatnya. Kakak memandangku sambil memegang hendal sepeda.

"Kau boleh bawa basikal ini?" tanya kakak.

"Tak apalah, kita tolak sama-sama. Takut nanti jatuh lagi." Aku cuba mengusik.

Kakak lantas menyiku bahuku. Aku membalas senggolannya dengan gelak kecil. Sudahnya, hilai tawa kami berdua memecah suasana panas rembang hari itu.

Dan di saat ini, aku mengucapkan syukur tak terhingga kerana diberi kesempatan lagi. Kesempatan melihat indahnya senyuman kakak. Ukiran bibir indah itu masih kekal menawan, sama seperti ketika kali pertama aku mengajaknya bersiar-siar dengan basikal tua gemulah datuk kami.

Kembara mini ini, meskipun tujuannya tidak tercapai, namun, ia mengajarkan sesuatu. Jika kau mahu lakukan sesuatu, kau harus cermat mengatur langkah. Jika tidak, usaha kau akan berakhir sia-sia.

Laluan kembara kali ini sudah bertukar. Arah perjalanan kami tidak lagi ke Pekan Barat atau ke rumah Mak Long. Laluan ini menyongsong perjalanan ke rumah nenek semula.

Ini bermakna, kembara sudah pun berakhir.


Yusuf Baradar
Menulis memoir ini banyak menguras air mata dan juga emosi. Namun, inilah kisah nyata yang tersimpan kemas di dalam memori.

Catat Ulasan

2Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.

  1. Masya-Allah, saya yang baca ni turut rasa suspense. Mujurlah kakak selamat. Kenangan yang mungkin takkan lupa, ya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana sudi membaca catatan peribadi ini. Kejadian ini sekaligus mengundang rasa cemas, sedih dan trauma sehingga sekarang. Alhamdulillah ya, kakak saya selamat

      Padam
Catat Ulasan