COVID-19: Kami Dijangkiti Wabak Selepas Makan Malam Di Luar

Yusuf Baradar
4

COVID-19: Kami Dijangkiti Wabak Selepas Makan Malam Di Luar


Dua tahun aku meratib ke telinga Hanani bahaya COVID-19. Maklumlah, kes jangkitan melibatkan murid dan guru di sekolah bukan sedikit. Jadi, aku kerap berpesan supaya dia pandai jaga diri.


Kalau di luar rumah, kami hemat jugalah buat aktiviti. Pastikan wajah berpelitup dan tangan disanitasi. Kalau bab jarak atau lebih-lebih lagi hal sentuhan memang selalu dititikberatkan. Tangan tidak boleh meleser sesuka hati. Asal terpegang saja, basuh. Punyalah waspada.


Jerat Tak Pernah Lupakan Pelanduk


Namun, takdir berkata lain. Hujung Februari lalu, kami positif. Itulah kata orang, jerat tak pernah lupakan pelanduk. Ketika jangkitan mencecah angka 33,000, kami leka menikmati makan malam di sebuah daerah peranginan. Rupanya malam itu kami ditemani musuh paling digeruni manusia. Coronavirus.


Dua hari kemudian, puan isteri mengadu. Kepalanya sakit bukan biasa. Suhunya juga mendadak panas. Keputusan kit ujian kendiri memberi jawapan yang mengejutkan. Akhirnya, seorang demi seorang daripada kami disahkan positif.


10 hari kami bertarung di dalam rumah. Perangkat seperti termometer dan oxymeter menjadi alat meninjau musuh. Ubat-ubatan semisal suppository dan paracetamol menjadi senjata menumpaskan musuh yang tidak nampak. Siang dan malam. Memang memenatkan.


Seperti biasa, emaklah yang paling risau.  Memandangkan hanya kami berdua saja lengkap bervaksin, kebimbangan ahli keluarga tertuang kepada anak-anak. Kau bukan tak tahu apa akan jadi kalau cucu-cucu kesayangan nyayi ini tidak sihat. Maka, berbakul-bakul petua dan nasihat kau dapat.


Sebut saja petua air cengkih-madu untuk dada bernafas lega, petua air asam jawa untuk badan membuang panas, petua air lemon untuk kerongkong selesa sehingga segala macam petua mak nenek kami terima. Haha. Kami jalani saja semuanya dengan baik.


Menjadi orang terakhir yang dijangkiti, aku bersyukur sangat sebab bergejala ringan. Cuma usaha menurunkan suhu anak-anak dari 39°c kepada paras normal benar-benar menguji. Beruntung rasanya bila ada bantuan dan sokongan ahli keluarga. Mereka bersama di saat ujian melanda.


Serik Makan Di Luar


Terlepas dari musibah pandemik, aku ada bercakap dengan puan isteri. Kami sepakat untuk tidak lagi makan di premis melainkan bungkus sahaja. Penularan wabak melalui bawaan udara (airborne) itu benar ketika kau menurunkan pelitup wajah. Inilah punca mengapa Omicron menjadi tsunami di hampir 90 buah negara, termasuk tanah air kita.


Keupayaannya untuk merebak empat kali ganda lebih cepat berbanding varian Delta. Walaupun dampaknya kurang serius, pakar kesihatan nasihatkan kita supaya sentiasa berhati-hati sebab orang yang sudah ambil vaksin boleh kena COVID-19, dan mereka yang sudah pulih boleh dijangkiti semula.


Muncul Varian Terbaru Dari Thailand


Paling menarik, Omicron rupanya bukanlah varian terakhir seperti yang kita fikirkan. Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beri amaran munculnya varian baru yang bermutasi daripada Omicron; varian XE. Malah, ia sudah pun dikesan di negara jiran kita, Thailand. Hoho!


Hari ini aku yakin, Hanani sudah lebih faham apa itu COVID-19. Bolehlah dia berbagi pengalamannya kepada guru-guru dan kawan-kawannya di dalam kelas nanti. Semoga mereka bijak menjaga diri.



Yusuf Baradar
Inilah harga yang harus kita bayar demi menikmati sebuah kebebasan.


Catat Ulasan

4Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.

  1. Oh, entri tahun 2022 rupanya. Mesti susah hati waktu itu, kena covid satu keluarga. Alhamdulillah, selamat melaluinya dan sihat semuanya, ya, Encik.
    Sampai sekarang covid ini masih ada, cuma tak seteruk dulu, orang yang kena.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, kak nur. Kami sekeluarga selamat melalui fasa jangkitan ini dan sembuh sepenuhnya. Kalau diikutkan, memang takut juga, lebih-lebih lagi bila anak-anak belum sempat bervaksin

      Padam
  2. Kalau ingat covid, sedihnya tak hilang2. Teringat mama mertua yg meninggal Krn covid, dan kami syak mama mertua tertular dari suami saya. Krn memang suami sering melihat mamanya saat covid dulu.

    Tak butuh waktu lama, 5 hari saja, mama akhirnya berpulang. Dan suami , saya, juga Kaka ipar langsung periksa, apakah kami tertular atau tidak. Dan ternyata suami dan saya positif, hanya saja tanpa gejala apapun. Mungkin imun tubuh kami bagus, tapi sayangnya mama tidak. .

    Dan itu terjadi 2x. Kali kedua tertular, juga seperti itu. Positif, tapi tak ada gejala sakit apapun. Makanya kalau ditanya, sakit covid seperti apa, saya sudah menjelaskan, sebab memang macam tak sakit

    BalasPadam
    Balasan
    1. Benar, kak fanny. Kadang, orang yang positif covid itu tidak ada gejala sakit, mungkin kerana imun tubuh yang kuat. Saya bersimpati atas kehilangan mama mertua kak fanny akibat covid. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Amin

      Padam
Catat Ulasan