Bila cerita pasal anjing, aku teringat masa darjah satu aku pernah sekali kena gigit.
Pagi itu, aku jalan berdua dengan kakak ke sekolah agama. Kami lalu lorong kecil belakang rumah jiran yang bela anjing. Budak-budak Kampung Sungai Raya sudah maklum, kalau nasib kau tidak baik kau akan disalak atau dikejar anjing peliharaannya — spesis Mongrel dewasa berwarna hitam.
Entah apa mimpi tuan rumah. Pintu pagar kecil belakang kediamannya lupa ditutup. Sedang kami melewati pagar tersebut, tiba-tiba haiwan setinggi peha orang dewasa itu menyalak dan meluru keluar sebelum mengejar kami.
"Lari adik, lari! Anjing kejar!" jerit kakak sambil membuka langkah seribu.
Punya tak cukup tanah kami lari. Yang aku hairan, macam mana dia boleh berdesup lebih laju daripada aku. Padahal aku berseluar, dia berkain. Pelik.
Betis Kiri Digigit Anjing
Bila aku toleh belakang, kejaran semakin dekat. Ya Tuhan, punyalah takut sampai aku tak ingat apa-apa doa selain doa makan. Itu pun tak sempat nak baca sehinggalah,
Ngap!
Betis kiri aku digigit rakus. Macam orang kebulur jumpa ayam goreng Mcd. Sakit ya amat. Aku melolong.
Anjing berwarna hitam itu tak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Mahu menyiat-nyiat kaki budak suci ini. Tak tahukah dia datukku dahulu askar berjasa menentang segerombolan komunis yang menyerang hendap di Bukit Tangga, Negeri Sembilan?
Waktu itu aku fikir nyawa aku tak panjang. Terbayang sejenak nasi impit kuah kacang nenek yang sedap. Takut tak sempat nak menjamah juadah tersebut raya nanti.
Dalam keadaan panik, sempat aku merujah kepala anjing tersebut dengan penumbuk sulung Super Saiya. Mencicit haiwan itu lari masuk kandang.
Syukur.
Diketawakan Kakak
Sambil menangis, aku berjalan ke sekolah. Kakak aku siap menunggu dengan pengawas perempuan lawa berkain merah depan pagar besar. Hilang macho aku.
Yang geramnya, mengekek dia ketawakan aku. Dia tak tahu aku nyaris bertukar jadi Son Goku tadi. Haha. Sudahnya, aku balik rumah nenek untuk samak kaki. Besar syukur sebab tak kena Rabies.
Fuh.
Tapi langit tak selalu cerah. Tak lama lepas itu, kakak aku pula kena gigit. Bukan dengan anjing. Tapi dengan aku. Aku yang gigit kaki dia masa kami berebut barang.
Padan muka. Kahkah!
Yusuf Baradar
Seharam-haram anjing, haram lagi perbuatan menganjing.


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.