Hanani Main 'Game' Sampai Lupa Surah Hafalan
19 Jun 2017
Game Zombie Catcher ini permainan budak besar — 12 tahun ke atas. Tapi bila tengok si kecil ini berjaya tangkap dua ekor makhluk zombie, saya terkejut juga. Kata puan isteri, cerdiknya Hanani bukan setakat itu saja, malah aplikasi permainan cake, Pacman, kucing Tommy dan Candy Crush pun dia sudah pandai main sendiri.
Oh, padanlah sekarang ini Hanani asyik saja lupa surah-surah lazim. Kadang pangkal ingat, hujungnya lesap. Kadang ayatnya bertukar-tukar dengan surah yang lain. Rupanya duk ralit sangat bermain game!
Hanani Makan Donat Sebelah Abah Di Bulan Puasa
20 Jun 2017
Bayangkan, donat-donat lazat dengan pelbagai topping menarik ini diratah dengan 'ganas' di sebelah saya di dalam kereta pada jam 12.30 tengah hari semalam. Tak cukup dengan itu, diuji pula kita dengan soalan yang mengusik perasaan.
"Kenapa abah tak suka makan donat?" tanya Hanani dengan mulutnya berselaput coklat.
"Puasa." Jawab saya ringkas.
"Hanani pun 'kuasa' (puasa) jugak," sambil menyuap donat berhias kacang ke dalam mulut. Bunyi "krup-krap-krup-krap" itu sangat menekan jiwa. Ya Tuhan!
Hanani Berasa Bosan Kerana Lapar
5 Julai 2017
Ketika kami dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur, tiba-tiba suara Hanani memecah keheningan,
Hanani Berasa Bosan Kerana Lapar
5 Julai 2017
Ketika kami dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur, tiba-tiba suara Hanani memecah keheningan,
"Hanani ni boringlah abah."
"Kenapa pula?"
"Sebab Hanani lapar sangat nak makan. Tak ada tenaga. Nanti belikanlah Hanani apa-apa ya."
Oh Tuhan, belum pernah dengar orang berasa bosan kerana lapar. Inilah kes yang pertama kali saya hadapi. Tanpa banyak berpikir, saya melencongkan kereta ke arah Kluang, mencari kedai makan untuk Hanani.
Hanani Kempunan Buah Rambutan
8 Julai 2017
Begitu banyak kali Hanani duk mengulang kata mahu makan buah rambutan. Maka, ke Hulu Langat jugalah harus kami tuju. Di sini memang menjadi destinasi terbaik buah-buahan tempatan. Sementelah sekarang adalah musimnya rambutan, durian, mangga dan juga manggis, sedang elok juga kami datang ke sini. Buahnya molek-molek semua.
Hanani Kempunan Buah Rambutan
8 Julai 2017
Begitu banyak kali Hanani duk mengulang kata mahu makan buah rambutan. Maka, ke Hulu Langat jugalah harus kami tuju. Di sini memang menjadi destinasi terbaik buah-buahan tempatan. Sementelah sekarang adalah musimnya rambutan, durian, mangga dan juga manggis, sedang elok juga kami datang ke sini. Buahnya molek-molek semua.
Di hadapan saya, selonggok rambutan membukit tinggi. Warnanya bukan main. Merah mak ngah! Ada satu petua, jika mahu dapat buah dengan harga murah, maka carilah gerai yang duduk jauh ke dalam lagi. Lebih-lebih lagi yang menghala ke Sungai Lui dan Sungai Congkak sana. Jangan jadi seperti saya, sanggup lagi beli rambutan RM12 sekilogram. Malas berjalan punya pasal. Hoho!
Hanani Berselera Makan Bihun Masakan Abah
10 Julai 2017
Hanani Berselera Makan Bihun Masakan Abah
10 Julai 2017
Tadi saya goreng bihun. Ya, guna bihun Sufi. Bimbang juga kalau Hanani tidak berselera. Tapi bila tengok Hanani makan bukan main laju, hairan juga. Sedap benar ke? Sampai habis licin bihun dalam pinggannya. Saya beranikan diri bertanya,
"Sedapkah bihun yang abah masak?"
"Sedap!" jawab si kecil dengan wajah masih menghadapi pinggan.
"Sedap macam mana ya?"
"Sedap sangatlah abah. Hanani suka kalau abah masak macam ini selalu. Kalau boleh, hari-hari nak makan bihun!" puji Hanani. Amboih, kemain lagi kau nak.
Hanani Tanya Kenapa Abah Pakai Cermin Mata
11 Julai 2017
"Abah, kenapa abah suka pakai 'spek' (cermin mata)?"
"Sebab mata abah tak nampak."
"Itulah abah. Suka sangat tengok (kartun) Dragon Ball."
Iyalah, anak. Kisahnya begini. Masa kecil dahulu, saya suka tengok televisyen dari jarak dekat. Bukan itu saja, saya kerap memakai cermin mata emak dan cuba berjalan ke sana sini di dalam rumah. Apabila cukup saja usia 10 tahun, penglihatan saya mula kabur dan tidak nampak tulisan di papan hitam.
Perkara ini mendapat perhatian ustazah di sekolah agama dan guru kelas mengambil inisiatif dengan memaklumkannya kepada emak. Pada hari saya melihat emak masuk ke pejabat sekolah, saya fikir ada perubahan bakal berlaku dalam hidup. Sejak hari itu, saya mula mengenakan cermin mata dan menjadi pelajar yang kacak di dalam kelas. Ramai jugalah yang tertarik pada penampilan baru saya ini termasuk mak cik kantin.
Kata orang, budak sekolah yang berkaca mata ini biasanya budak pandai dan rajin belajar. Kalau betul pandangan ini, mesti sudah lama saya menjadi menteri. Hmm... daripada menjadi menteri, lebih baik jadi mentari. Boleh menyinari hidup orang lain.
Hanani Cakap Kulit Abah Tidak Putih
14 Julai 2017
"Kenapa abah tak makan brokoli? Brokoli kan bagus untuk otak."
"Abah sudah makan banyak brokoli semalam."
"Tak putih pun?"
"Apa yang tak putih?"
"Kulit abah."
Geramlah dengan budak kecik yang seorang ini. Apa benda kaitannya sayur hijau brokoli itu dengan kulit putih. Macam-macamlah. Adeh!
Hanani Belajar Mengira Dalam Bahasa Tamil
18 Oktober 2017
Hanani Belajar Mengira Dalam Bahasa Tamil
18 Oktober 2017
Supaya Hanani mahir dengan pelbagai bahasa, saya ajarkannya mengira dalam bahasa Tamil. Pada awalnya, Hanani tidak menunjukkan sebarang minat. Tetapi, selepas saya pujuk, akhirnya dia beralah dan mula ikut belajar.
"Onne, satu."
"Rende, dua."
"Munre, tiga."
"Nalle, empat."
"Anje, lima."
Si kecil ini pun mengikut satu persatu. Namun, bila masuk saja nombor yang keenam, sebutan itu menjadi lain. Ah, memang sengaja diubah. Bukan kita tak tahu budak-budak punya kehendak bermain. Boleh dihidu.
Abah, "Arre, enam."
Hanani, "Arrekk, enam. Hahahaha!"
Hmm, geramlah kita. Bermain-main pulak. Ada juga yang kena gigit karang.


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.