"Bahayalah kalau pergi sekolah. Sekarang kes tengah naik balik. Lebih baik duduk rumah saja," jawab aku. Daripada raut wajah puan isteri, aku faham benar kebimbangannya tentang anak perempuan kami.
Walaupun kementerian beri kelonggaran untuk tidak hadir ke sekolah, namun, pada aku lebih wajar lagi jika PdPR ini dimulakan semula secepat mungkin. Duduk belajar di rumah saja. Selamat.
"Ibu Whatsapp cikgu kelas Hanani. Beritahu dia, anak kita cuti hari ini sampai Jun nanti," pinta aku.
Puan isteri bingkas menyalakan telefon bimbitnya dan menulis seperti yang direncanakan. Dalam tulisannya itu, puan isteri menyatakan bahawa anak kami tidak hadir ke sekolah lantaran risaunya terhadap kemunculan jangkitan kluster pendidikan yang ganas.
"Ibu sudah maklumkan kepada guru kelas Hanani. Buka sekolah Jun nanti, kita hantar surat tunjuk sebab," ujar beliau.
Aku mengangguk kepala.
Mutasi Dari India
Jauh di sudut hati, aku merasakan bahawa kami semua akan melalui sekali lagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali ketiga setelah kemasukan varian COVID-19 dari India, B.1.617.1, semalam.
"Sekarang mutasi dari India sudah sampai Malaysia. Ada dikesan di KLIA. Mutasi inilah yang menjadikan India duduk nombor dua selepas Amerika," kata aku dengan nada serius.
Bayangkanlah, India dengan populasi manusia hampir 1.4 bilion, kini berhadapan kes harian mencecah hampir 370,000 sehari. Ini semua gara-gara rakyat mereka ghairah minum air Sungai Mahim Creek yang kononnya manis dan boleh sembuhkan penyakit.
Yang menghairankan aku, bukankah rakyat sana sudah dihalang masuk ke Malaysia. Siapalah insan bertuah yang bawa masuk virus mutasi berganda ini ke mari. Ya Tuhan!
Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
Di hadapan aku ada seorang budak perempuan yang sedari tadi ralit mencuri dengar perbualan kami, sekarang sudah senyum lebar hingga ke telinga semenjak aku mengungkapkan kata,
"Hanani belajar dekat rumah saja hari ini."
Ceh!
Yusuf Baradar
Sekolah atau tidak, belajar tetap kena belajar. Mengaji tetap kena mengaji. Hmm!


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.