Ini adalah kompilasi gelagat saya yang dikumpulkan dari hantaran Facebook saya sedari tahun 2013 sehingga 2016. Bahagian 1 ini menampilkan cerita pengalaman menghadapi lembu korban dan penyangak bermotorsikal, ada juga kisah tawar-menawar di kedai runcit serta pengalaman lucu ketika di asrama.
Ayah Ajak Sembelih Lembu Korban
12 Oktober 2013
Di dapur, kedengaran parang-parang sedang diasah ayah. Ini adalah persediaan awal bagi menghadapi penyembelihan lembu-lembu raya korban. Di luar rumah, hujan mulai reda dan cuaca agak sejuk sehingga mencengkam ke tulang. Namun, pagi ini aku sedikit terkejut bila dipelawa ayah untuk menjadi salah seorang tukang sembelih lembu.
"Tak nak cuba sembelih seekor (tahun ini)?"
"Tak mengapalah."
"Seekor pun tak nak?"
Aku terdiam sebentar. Pelawaan ayah aku tolak dengan baik sekali lagi. Ayah membalasnya dengan senyuman saja. Dia tahu, tiga tahun yang lalu, aku pernah menumbangkan seekor lembu korban dengan parang yang tidak begitu tajam. Namun, itu bukan bererti aku serik atau pun takut dengan darah yang membuak-buak.
Cuma, tahun ini aku belum cukup bersedia. Tangan kanan dan kiri ini sudah cukup lenguh memandikan dan mencebuk si bayi Hanani ini dekat singki setiap hari. Jikalau ada rezeki, tahun depan mungkin boleh sertai korban lagi. Begitulah.
Berhadapan Cubaan Penipuan Penyangak
4 Januari 2014
Siapa yang tidak rasa berderau bila ditegur penunggang motorsikal kononnya tayar kereta kita berasap? Itulah yang saya lalui ketika sedang memandu kereta semalam. Laungan seorang lelaki berbangsa India yang menunggang motorsikal Yamaha berwarna kuning dari sisi kiri kereta buat saya bingung.
"Bang! Tayar berasap bang!"
Namun, saya tenangkan diri dan tidak menghentikan kereta. Mujur juga pikiran saya pantas mengingati kes-kes penipuan kumpulan penyangak seperti ini kepada para pemandu kereta di sekitar kawasan Lembah Klang, seperti yang dilaporkan di dada-dada akhbar tempatan.
Penunggang motorsikal tersebut mengiringi kenderaan saya, berharap saya berhenti dan turun melihat keadaan tayar. Saya membelok memasuki simpang di sebelah kiri dan mencari tempat selamat untuk berhenti serta membuat pemeriksaan pantas ke atas tayar.
"Tak ada apa-apa pun!" bentak saya di dalam hati.
Memang benar. Inilah kumpulan penyangak yang selalu membuat onar di area ini sehingga menyebabkan kerugian beribu ringgit kepada mangsa yang biasanya seorang wanita atau pun individu berseorangan. Semoga kita semua lebih berhati-hati dan tidak mudah panik dengan taktik kotor seperti ini.
Pengalaman Tawar-Menawar Tong Air Di Kedai Runcit
26 Februari 2014
Sudah beberapa hari bekalan air di kawasan saya terganggu. Jadi, semua orang pakat cari tong besar untuk tadah air. Bekalan air bersih pula dihantar melalui lori-lori tangki air bertempat di perkarangan masjid berdekatan. Ini perbualan saya dengan peniaga Cina semasa proses tawar-menawar di kedai runcit.
"Berapa harga tong air besar warna biru ini ya?"
"Yang besar ini 39 ringgit. Boleh isi 15 liter punya. Yang kecik punya 12 liter, 35 ringgit. Kalau mahu yang lagi besar punya, ini macam," jawab peniaga tersebut sambil menunjukkan ke arah tong hitam mirip tong sampah di bandaraya. Saya berdiri di hadapan tong tersebut. Sudahlah terlalu besar, harganya bukan main mahal lagi — RM79.
"Tong 15 liter tadi, berapa harga boleh kasi kurang?" Saya mencuba nasib.
"Net.. net.. baik.. baik." Peniaga tersebut mengelak untuk kurangkan harga.
Saya mencuba sekali lagi untuk mendapatkan harga yang lebih rendah, RM35. Namun, peniaga Cina itu enggan menurunkan harga dan memalingkan wajah ke arah lain. Hmm.. beginilah nasib badan. Waktu air kena catu, harga tong pun tidak boleh beri kurang. Biasalah, jikalau permintaan tinggi, harga barang pun naik sekali.
Pengalaman Masak Bihun Goreng Sendiri
12 April 2014
12 April 2014
Dahulu, emaklah yang berhempas senduk di dalam kuali memasak bihun goreng. Bunyi "klentang, klentung" di dapur memberi tanda masakannya hampir siap. Punyalah sedap masakan emak, separuh kuali saya pulun seorang diri. Emak lihat saja sambil tersenyum. Maklumlah, penggemar bihun goreng di rumah ini tidak ramai. Yang lain cuma suka gorengan nasi atau mi.
Sejak berumah tangga ini, saya cuba masak bihun goreng sendiri. Ya Tuhan, baru tahu betapa renyahnya menyediakan masakan ini. Kata orang, baru sedar tinggi rendah kuali dengan atap dapur. Hebatnya emak.
Menjawab Dengan Yakin Itu Harus Ada
19 September 2016
"Teringinlah nak pergi air terjun Tanjung Piai." Suara puan isteri menyinggah ke telinga. Saya yang sedari tadi membelek telefon memandangnya dengan pandangan bersahaja. Puan isteri bertanya dimanakah letaknya air terjun ini. Dengan yakin saya menjawab,
"Perak."
"Wah, hebatlah abah. Abah memang anak Perak 'sejati'. (Jawapannya) dekat Johorlah," seloroh puan isteri. Saya tersengih dan tersimpul malu. Ah, pedulikan semua itu. Yang penting, confident itu kena ada. Haha!
Termakan Kaya Yang Sudah Luput Tarikh
12 Oktober 2016
Semalam, emak pandang saja wajah saya ketika anaknya ini sedang menyapu kaya pada roti. Seolah macam ada benda yang tidak kena. Saya membiarkan saja hingga selesai makan. Usai habis menjamah roti di tangan, emak ketawakan saya pula. Hairan melihat gelagat emak, saya bertanya kenapa. Emak menjawab,
"Sedap tak makan kaya yang sudah expired ?"
Hoho, saya sudah terkena! Geram betul dengan emak hari ini. Berani betul dia diamkan saja saya makan kaya yang sudah luput tarikhnya. Hendak diluahkan semula, makanannya sudah turun ke perut. Haha.
Tak Jumpa Baju Di Dalam Almari
24 Disember 2016
24 Disember 2016
"Tak jumpa pun." Laung saya dari dalam bilik. Sudah masuk kali ketiga saya geledah almari mencari dua helai t-shirt berwarna hitam. Pakaian kegemaran saya itu sudah berhari-hari hilang dari pandangan. Bila saya bertanyakan kepada puan isteri, dia meminta saya mencarinya semula di dalam almari. Kepadanya saya katakan yang saya sudah mencari banyak kali, tetapi masih lagi belum ketemu.
Tanpa banyak soal, puan isteri masuk ke dalam bilik lalu membuka pintu almari. Dengan pantas, tangannya membawa keluar baju-baju tersebut dan menunjukkannya di hadapan saya.
"Betulkah tidak jumpa?"
Saya tergamam sebentar. Di dalam hati, saya berasa terkejut bercampur hairan. Di pikiran saya bertanya, bagaimanakah puan isteri lakukannya. Dalam pada perasaan dan pikiran yang bercampur baur ini, saya beri kesimpulan bahawa inilah keajaiban orang perempuan yang selalu diperkatakan di media sosial — hebat mencari barang yang hilang. Haha.
Pengalaman Makan Mi Segera Di Dalam Baldi Di Asrama
26 Disember 2016
Saya teringat ketika belajar di Maahad dahulu. Kami pernah sama-sama menikmati mi segera Maggi di dalam baldi secara berjemaah. Bayangkan, ada budak yang gunakan dua batang pen sebagai penyepit chopstick, ada pula yang jadikan gayung sebagai mangkuk menadah mi dan kuah. Semua orang ketika itu berebut-rebut mahu melahap hidangan segera tersebut seolah-olah dewan asrama tidak pernah menyediakan apa-apa makanan.
Jika diingati kembali, semua ini boleh buat saya rasa mahu muntah belalah. Tetapi, inilah pengalaman suka duka duduk di asrama. Kadang berasa seronok, kadang berasa 'kembang tekak' juga. Haha.


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.