Kompilasi Gelagat Hanani: Bahagian 1

Yusuf Baradar
0
Kompilasi Gelagat Hanani: Bahagian 1


Ini adalah kompilasi gelagat Hanani yang dikumpulkan dari hantaran Facebook saya sedari tahun 2013 sehingga 2016. Bahagian 1 ini menampilkan cerita pengalaman membesarkan bayi Hanani sejak lahir sehinggalah si kecil ini boleh bercakap, belajar dan yang paling geram, mengusik abahnya dalam kereta.

Si Comel Tak Berhenti Merengek
12 Oktober 2013

Puan isteri sedang berusaha menidurkan si comel Hanani yang tak berhenti merengek-rengek dari tadi. Bayangkan, menyusu tak mahu, baring tak mahu, buai pun tak mahu. Agaknya, bayi pada usia 4 bulan memang begitu barangkali. Sedang membesar. Ditambah pula dengan perangai yang bermacam-macam.


Anak Cabut Plag Wifi
7 April 2014

Mandi sudah. Sarapan sudah. Tengok Facebook pun sudah. Sekarang waktu untuk mula bekerja. "Prapp!" Anak cabut plag Wifi. Aduh!


Ajar Anak Guna Flash Card
14 Mei 2014

Awal pagi ini, puan isteri mula mengajar Hanani guna flash card. Si kecil ini mula suka sambil bersorak-sorak. Kata puan isteri, tempoh fokus belajar budak kecil itu tidak lama. Lima hingga sepuluh minit saja.

"Bagaimana kalau lebih?" tanya saya.

"Dia akan masukkan buku ke dalam mulut."


Kisah Hanani Mimpi Musang
20 September 2016

Ketika saya sedang memandu kereta, terdengar perbualan dua beranak ini di tempat duduk sebelah. Hanani beritahu ibunya, malam tadi dia ada bermimpi sesuatu. Berasa ingin tahu dengan mimpi tersebut, puan isteri bertanya mimpi tentang apa.

"Hanani mimpi musang ambik Hanani," jawab si anak.

"Lepas itu?" tanya si ibu.

"Lepas tu musang tu buat apa dekat Hanani?" soal si anak.

Si kecil ini pula yang bertanya kepada ibunya apa yang berlaku seterusnya di dalam 'mimpi'nya itu. Maka, berdekah kami ketawakan Hanani. Nampak sangat dia sedang mereka-reka cerita. Ini mungkin proses pembelajaran baginya.


Pujuk Anak Dengan Coklat
21 September 2016

Suatu hari, ketika saya sedang menghidupkan suis lampu di ruang tamu, terdengar perbualan dua beranak ini di dalam bilik tidur.

"Hanani sayang ibu tak?"

"Sayang."

"Sayang abah tak?"

"Tak!"

"Sebab?"

"Sebab tadi abah tak bagi Hanani tengok telefon."

Tersentap sekejap hati saya. Hanya kerana tak bagi tengok Youtube dalam telefon, anak merajuk. Tapi tak mengapa, saya cuba pujuk dengan cara ini. Perlahan-lahan saya datang kepadanya dan bertanya,

"Hanani suka makan coklat?"

"Suka."

"Hanani nak makan coklat banyak-banyak tak?"

"Naaakkk!"

"Okey, Hanani sayang abah tak?"

"Sayang sangat-sangat!"

Nampak tak? Bukan susah nak ambil hati anak. Pancing coklat je pun. Eh, lain macam je. Macam rasuah pulak.


Hanani Tegur Abah Langgar Lampu Merah
3 Oktober 2016

Ketika saya sedang memandu kereta dan melintasi lampu isyarat berwarna hijau, tiba-tiba Hanani yang duduk di kerusi sebelah memandang saya dengan serius lalu bertanya, "Abah, Hanani nak cakap sikit boleh tak?"

Saya mengangguk. Anak kecil ini datang kepada saya lalu berbisik perlahan di telinga, "Kenapa tadi abah langgar lampu merah?" Terbeliak biji mata saya. Ditambah pula dengan rasa darah berderau.

"Bila masa pulak abah langgar lampu merah. Tadi kan lampu hijau. Yang merah tu lampu simpang sebelah sana la," jawab saya spontan.

Hanani membalas, "Tau takut. Hehe."

Nampak tak. Anak kecil umur 3 tahun 4 bulan pun sudah pandai bergurau begini. Lemah semangat bapak dibuatnya!


Anak Main Sampai Habis Sabun Krim Mandi
4 Oktober 2016

Tadi Hanani beritahu dia sudah main sampai habis sabun krim mandi di bilik air. Saya angguk sahaja. Dia berasa pelik saya tidak marah. Saya kata saya tidak marah sebab sabun krim itu sebenarnya diambil dari bilik air datuknya di bawah.


Badan Anak Lebih Berat Dari Sekampit Beras
10 Oktober 2016

Ketika mahu membaringkan Hanani, dengan tidak sengaja, badannya terlepas dari pelukan lalu terhempas lembut di atas katil. Dengan mimik berkerut, si kenit ini berkata, "Abah, kepala Hanani ni nak pakai lama tau bah." Oh anak. Abah tak sengaja. Andai kau tahu, badanmu sudah pun lebih berat daripada sekampit beras.


Hanani Lukis Gambar Abah
5 November 2016

Pagi tadi Hanani tunjuk lukisan ini pada saya. Katanya dia lukis gambar saya. Saya fikir dia bergurau. Mana mungkin kanak-kanak umur 3 tahun 5 bulan boleh buat lukisan begini. Tadi isteri beritahu gambar ini memang si kecil ini yang lukis. Ada kaca mata, dan telefon di tangan. Bila ditanya kenapa telefon ditangan, Hanani cakap sebab saya selalu sibuk online pakai telefon. Haha.


Hanani Ambil Semula Hadiah Getah Rambut
22 Disember 2016

"Bila kita bagi orang hadiah, kita tak boleh ambik balik hadiah tu. Hadiah tu dah jadi orang tu punya. Bila Hanani dah bagi nyayi (nenek) getah rambut, Hanani tak boleh ambik balik getah rambut tu," bebel saya dekat anak.

"Tapi Hanani punya getah rambut tertinggal dekat atas. Hanani nak pakai getah apa?" soal Hanani.

"Getah sayur kan ada," jawab saya selamba.

Berkerut dahi anak.


Anak Mengantuk Bila Disuruh Mengaji
24 Disember 2016

Bukan main mengantuk lagi Hanani masa ulangkaji surah-surah lazim semalam. Kepalanya tersengguk-sengguk. Padahal sebelum itu ligat bukan main. Lompat atas katil, panjat belakang abah, menyanyi-nyanyi. Habis sahaja baca surah "Inna a'toina", terus dia merangkak naik atas katil, letak kepala atas bantal, kemudian siap tarik selimut tutup badan.

Amboih! Pandai pula tidur sendiri kalau disuruh mengaji. Nampak tak ragam generasi Alpha macam mana?

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan

Terima kasih kerana memberi komen yang baik.

Catat Ulasan (0)