Ceritanya begini. Ketika saya dan rakan-rakan berpeluang menyertai Program Siswazah Perantis anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), kami telah dijemput untuk menghadiri Simposium Usahawan PUNB yang menghimpunkan sejumlah besar usahawan-usahawan Melayu dan bumiputera dari seluruh negara di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2011.
Menariknya, simposium tersebut menampilkan beberapa orang tokoh besar, antaranya bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pengasas LES' COPAQUE, Tuan Haji Burhanuddin Mohd Radzi sebagai ahli panel program tersebut.
Program yang bertempat di dewan Grand Mahkota Ballroom itu dihadiri lebih 2,000 orang usahawan dari pelbagai bidang perniagaan berjalan dengan lancar. Pada jam 10.15 pagi, Tun Dr. Mahathir hadir ke podium untuk memberi ucapan sulung beliau dan mendapat tepukan yang gemuruh.
Sebagai perantis, kami berasa teruja mendengar nasihat dan kata-kata semangat daripada para panel jemputan kerana ia adalah pengalaman pertama kami menghadapi gelombang kebangkitan usahawan tanah air yang melibatkan ramai tokoh-tokoh besar dan orang ternama di Malaysia.
Air Mata Seorang 'Diktator'
Program kemudiannya diteruskan dengan sesi soal jawab bersama para peserta. Beberapa orang peserta mengajukan soalan dan ia dijawab dengan baik oleh para panel. Ketika sesi itu berlangsung dengan rancak, suasana tiba-tiba menjadi muram tatkala bangkitnya seorang usahawan senior yang meluahkan segumpal rasa kecewanya kepada pentadbiran kerajaan.
Beliau yang merupakan seorang jurutera teknologi berasa hampa lantaran syarikatnya tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi. Katanya, usaha bagi mendapatkan dana daripada kerajaan sering menemui jalan buntu, ibarat "pisang ditanam tak berjantung", walaupun segala syarat telah dipenuhi dan permohonan dibuat berkali-kali.
Akhirnya, tangisannya pecah di dalam dewan besar tersebut dan seluruh mata hadirin kini tertumpu kepadanya. Dalam pada itu, jurukamera yang sedang merakam lelaki tersebut dari atas pentas, secara tidak sengaja telah menghalakan lensa zum dekat ke wajah Tun Dr. Mahathir. Di skrin utama, terpampang wajah sebak Tun Dr. Mahathir, dengan air mata yang bergenang dan bibir yang menguncup sedih selama beberapa detik disebabkan luahan tersebut.
Persoalan-Persoalan Yang Bermain Di Kepala
Saya sempat menatap momen itu sebelum lensa kamera dihalakan semula kepada audiens. Jauh di dalam hati, saya berasa hairan dan tertanya-tanya apakah perwatakan Tun Dr. Mahathir yang sebenarnya. Mengapa beliau yang sering dilabel sebagai pemimpin diktator yang tidak berhati perut boleh menitiskan air mata hanya kerana luahan seorang usahawan yang tidak mendapat pertolongan daripada kerajaan?
Apakah tohmahan yang dilemparkan ke atas beliau selama ini adalah sebuah perancangan jahat bersifat mala fide bagi tujuan memburukkan nama dan reputasi beliau sebagai negarawan ulung serta menafikan segala jasa bakti beliau kepada agama, bangsa dan negara?
Soalan-soalan seperti ini berlangsung dibenak saya sepanjang acara tersebut berjalan. Tun Dr. Mahathir dilihat sempat menyapu air matanya sebelum memberi respons kepada usahawan berkenaan dengan tenang, bijaksana dan penuh simpati — seperti layaknya seorang bapa menasihati anak kesayangannya.
Salam Bersambut Dengan Senyuman Lembut
Sebaik saja program berakhir, saya tidak menunggu lama di dalam dewan. Kami bersama para usahawan yang lain beratur menanti peluang untuk bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir di luar dewan. Ketika huluran tangan saya bersambut, saya sempat menyapa beliau dengan panggilan "Tun", dan beliau membalasnya dengan senyuman yang melembutkan hati.
Hari ini, genap 100 tahun usia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebuah hayat panjang yang jarang dimiliki oleh insan lain di dunia ini. Beliau adalah sebuah anugerah yang dikurniakan kepada kita, seluruh rakyat Malaysia — permata yang menyinari di dalam gelap, dan berkilau di kala terang.
Kita akui, beliau juga manusia biasa yang ada kelemahan dan juga salah silapnya. Tidaklah semua perkara kita bersependapat dengannya. Ada hal yang kita bersetuju, ada perkara yang terkadang kita berseteru. Namun, kita sesekali tidak boleh menafikan usaha dan kesungguhannya dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu, memperkukuhkan kedudukan agama Islam dan juga menjaga kedaulatan negara.
Beliau juga antara pemimpin dunia yang lantang bersuara dalam membela hak rakyat Palestin daripada penindasan regim Zionis dan konsisten dengan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf negara haram Israel serta menolak penyelesaian konflik melalui peperangan dan pembunuhan massal terhadap orang awam.
Sebagai rakyat marhaen, saya mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk beliau di dunia dan juga di akhirat. Sebagai seorang bapa, akan saya ceritakan kepada anak cucu kelak, bahawa Tanah Melayu pernah ada seorang pahlawan terbilang yang tidak pernah berhenti berjuang selama 100 tahun — dialah Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad.
Yusuf Baradar
Inilah pemimpin berjiwa rakyat, bertaraf dunia.
Inilah pemimpin berjiwa rakyat, bertaraf dunia.


Aminn ya robbal alaminn.. ,😃
BalasPadamAlhamdulillah, amin
PadamTun Dr, Mahathir tetap seorang pejuang, dia telah memimpin Malaysia ke arah celimIT masa pimpinannya..wawasan 2020 dialah Menteri Malaysia
BalasPadamYa, Tun Dr. Mahathir adalah bekas pemimpin negara kita yang berwawasan tinggi. Rindu sungguh dengan era kegemilangan beliau
PadamThank you so much for sharing your thoughts about this man. I live in Montreal, Canada, so I don't know much about your country, but I have learned a lot from your post.
BalasPadamThank you for reading my post about Tun Dr. Mahathir. Can’t believe he’s almost 100 and still going strong — such an inspiration. Glad you enjoyed the post and learned a bit about Malaysia. Greetings from Malaysia to Montreal
PadamAamiiin. Semoga kesehatan selalu dilimpahkan kepada Tun Mahathir selalu. Sayapun respect kepada beliau. Terkadang untuk membentuk suatu negara yg kuat, seorang pemimpin wajar bertindak diktator..krn dia tidak mungkin bisa menyenangkan seluruh hati rakyat negaranya.
BalasPadamBenar, kak fanny. Seorang pemimpin tidak mungkin bisa menyenangkan seluruh hati rakyatnya. Pemimpin harus selalu pintar dan kuat jiwanya. Terima kasih ya atas doanya. Semoga Tun Mahathir selalu dilimpahi kesihatan yang baik dan umur yang panjang lagi berkat. Amin amin
PadamTakkan ada pemimpin lain yang dapat gantikan Tun. Beliau juga selalu tolong orang, pernah jadi masa kakak saya kecil, cerita dari bapa saya, masa itu Tun belum masuk politik dan punya klinik di Kedah, walaupun tengah malam, beliau masih sudi tolong rawat kakak saya. Baik sangat orangnya.
BalasPadam