Program ini berjalan selama tiga minggu. Jadi, tak usah hairan jika ada jurulatih yang merintih kerana sering menerima alasan-alasan klasik berbaur peribadi daripada kelompok yang kurang aktif — tak berminat dengan sukan, malu dan tak cukup cergas. Sebaliknya, mereka yang kompeten pula selalu mendapat nada sinikal apabila berusaha mengisi kelompangan yang ada. "Sukaneka pun dia, sukantara pun dia. Balik-balik muka yang sama!"
Tujuan kedua-dua sukaneka dan sukantara ini tidak hanya berkisar soal "satu murid, satu sukan". Ia juga tentang betapa pentingnya mendedahkan diri kepada kegiatan aktif agar tubuh sihat berkeringat, selain dapat memupuk semangat dan kerjasama berpasukan. Sekalipun tidak berjaya mengharum nama rumah sukan dengan sebarang pingat, para peserta masih dapat menikmati kenaikan poin Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sebagai homaj penyertaan.
Bersikap skeptikal terhadap sukan
Benda yang buat saya berasa canggung; ketika populasi murid di sekolah rendah Hanani melebihi angka 2,500 orang — antara jumlah yang tertinggi di negeri Selangor — rupanya bukan sedikit yang mengelak daripada terlibat sukan walau di peringkat saringan.
Bayangkan daripada 9 buah kelas bagi darjah 6 dengan purata 38 orang murid di dalam satu kelas, ada guru yang terpaksa meletakkan nama atlet yang sama bagi setiap acara sukaneka dan sukantara. Jika isunya soal prasarana dan kemudahan peralatan sukan, semuanya tersedia baik dan lengkap, namun penyertaan pelajar pula mendukacitakan.
Barangkali ini sebab-akibat bila sukaneka dipandang sebagai sukan budak hingusan, maka mereka berasa malu untuk menyumbang diri. Mungkin juga mereka takut diejek jika kalah atau bimbang standardnya jatuh bila masuk acara bawa bola pingpong dalam sudu. Agaknyalah.
Bila sukantara pula dilihat sebagai sukan yang hanya layak untuk murid proaktif dan kompetitif, maka ramai yang lebih berminat menjadi penyorak tepi padang yang sekadar mahu menonton orang lain beraksi di jalur balapan, lompat jauh dan lontar peluru.
Kebimbangan ini ada disuarakan sebahagian guru kepada ibu bapa di dalam grup-grup sekolah. Ironinya, tak semua begitu cakna soal keseimbangan prestasi anak-anak di dalam akademik dan juga sukan. Malah, ramai ibu bapa beranggapan minggu sukan sebagai waktu eskapisme; dengan memontengkan anak daripada sesi persekolahan untuk pergi makan angin, berjalan ke kompleks beli belah atau pulang ke kampung.
Alasan-alasan klise seperti 'urusan keluarga' atau 'direhatkan' seolah-olah sudah menjadi tren baru yang cuba dinormalisasikan tanpa rasa bersalah dalam kalangan ibu bapa demi menghalalkan budaya ponteng sekolah. Amalan kurang sihat ini agak membimbangkan dan perlu dibendung seawal mungkin sebelum parah.
Menangguk di air keruh
Sejak kami mula bercakap perihal kelompongan di dalam acara sukan sekolah, nampaknya ada seseorang yang melihat masalah ini sebagai peluang. Peluang untuk merangkul sebanyak mungkin kalung emas — bukan saja dalam acara sukantara, tetapi juga sukaneka!
Matanya bersinar terang apabila dia mendapat lampu hijau untuk menumpaskan pesaing-pesaing tradisi daripada rumah biru, kuning dan merah. Bahkan juga sebagai kesempatan menebus kekalahannya di dalam acara larian 100 meter tahun lepas.
Kata Hanani, kali ini dia ingin menjadi jago bagi semua acara yang dipertandingkan. "Ramai yang tak nak masuk sukan. Cikgu suruh Hanani masuk dua-dua. Hanani nak menang semua, biar rumah hijau dapat banyak mata!"
Saya menggelengkan kepala. Tahun lepas, ada seorang atlet cilik daripada rumah hijau juga yang namanya didiskualifikasi daripada menyertai acara penting gara-gara membolot hampir kesemua acara di kedua-dua sukan tersebut. Tak mungkin Hanani terlupa, tapi nampaknya hal ini langsung tidak menggusarkannya sedikitpun.
Rasanya tak ada erti bertelagah pasal ini dengan Hanani. Disebabkan tahun ini tahun akhir, nampaknya Hanani mahu sapu bersih semuanya. Baik di acara sukan, kelab dan persatuan, malah apa saja yang menyumbang kepada markah PAJSK, dia mahu melunaskan kesemuanya.
Memandangkan nasihat kami hanya sekadar bergentayangan di kuping telinganya saja, saya tidak mengharap banyak selain memohon Hanani agar tidak melolong terlalu kuat jika kakinya yang kejang dilumur dengan minyak gamat panas malam nanti.
Yusuf Baradar
Moga-moga yang dikejar didapat, yang dikendong tidak berciciran.


sebenarnya kalau ikutkan budak-budak sekolah rendah suka je aktiviti sukan, cuma mungkin bilangan murid yang terlalu ramai, penyertaan jadi terhad, atau jika pertandingan antara rumah sukan, mungkin guru rumah akan pilih murid yang berpotensi untuk menang pingat sahaja..sekadar pandangan:)
BalasPadamBenar juga ya, tak semua pelajar berpeluang sertai sukan sebab guru rumah sukan akan pilih mereka yang berpotensi untuk menang pingat. Bertuah sungguh pelajar yang seimbang antara sukan dan juga akademiknya
PadamRasanya setiap atlet sukan ni ada had penyertaan agar tak bolot semua..misalan acara individu 3 berkumpulan bebas..so tak boleh tu acara idividu 4 acara..apapun mybe undang2 ni plesible agaknya..ada yang boleh ikut semua acara..tu yang blot ja tu ..
BalasPadamItulah, bila undang-undang fleksibel, ada yang lepas masuk semua acara
PadamMelarikan diri daripada sukan itu benar. Sebaiknya biarlah balance akademik dan sukan. Jangan hanya fokus pada satu je. Ada juga ye yang memontengkan anak supaya tak join sukan.
BalasPadamSemangat kesukanan betul Hanani. Semoga tercapai hasratnya.
Benar, kak aphizha. Sebaiknya akademik dan sukan haruslah seimbang. Diharapkan, ibu bapa semua terbuka hati untuk galakan anak-anak agar aktif bersukan selain cemerlang di dalam pelajaran. Alhamdulillah, rumah sukan hanani dapat jumlah pungutan mata paling tinggi
Padam