Lelaki itu terpaku sebentar mengamati skrin di hadapannya. Matanya terkebil-kebil melihat jumlah yang tertera pada paparan tersebut. Tanpa berlengah, papan kekunci ditekan sekali lagi dengan cermat satu demi satu. Entah apa yang mengganggu pikirannya, lelaki tersebut mengeluh. Suaranya bergema di dalam ruangan kedai mini stesen minyak itu. Beberapa orang pekerja saling berpandangan antara satu sama lain melihat gelagat tersebut.
Mungkin ada sesuatu yang masih belum beres, lelaki tersebut mendengus. Beberapa kali rambutnya yang tidak kemas digaru dengan tangan kanan. Raut wajahnya nampak resah — sekejap-sekejap mengetap gigi, sekejap kemudian dia merengus. Saya yang berada di belakangnya mula gelisah.
Bagai Dirasuki Jembalang
Belum sempat saya mengundur langkah ke belakang, tiba-tiba papan kekunci dibanting kuat. Saya dan beberapa orang pelanggan lain di dalam kedai terkejut. Pekerja-pekerja di bahagian kaunter pula mula memanjang-manjangkan leher menjenguk apa yang terjadi. Baran sungguh orang ini. Jembalang apa yang merasukinya pun saya tak tahu.
Kecewa dengan dapatan dirinya, lelaki tersebut menekan butang bergaris merah tanda membatalkan transaksi selanjutnya. Beberapa saat kemudian, mulut mesin ATM menghulurkan kad bank, diikuti resit. Keduanya disentak kasar sebelum disumbat ke dalam dompet.
Dengan wajah merah padam, lelaki separuh abad bertubuh rendang ini berpaling ke belakang. Sebelum beredar, dia sempat memandang ke muka saya seraya berkata dengan nada yang kecewa,
"BRIM belum masuk lagi!"
Ya Tuhan, bikin saspens saja pak cik ini!
Yusuf Baradar
Lain orang, lain pula dramanya.


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.