Selepas sarapan pagi tadi, saya bersama isteri sempat berjalan ke pekan Banting. Cuaca waktu itu agak tenang. Kenderaan pun kurang. Kami menyelusuri jalan lama dari Klang ke Bangi.
Dalam perjalanan tersebut, kami bercerita tentang kisah-kisah lama dari zaman kanak-kanak, sekolah, kolej sehinggalah sekarang.
Sedang asyik berborak, tiba-tiba saya brek mengejut. Saya hampir tidak perasan ada bonggol yang agak tinggi. Kotak di bahagian bonet belakang siap melantun, "Gedebuk!".
"Perlahan sedikit bah," tegur isteri.
Saya pun tersengih dan bawa kereta dengan perlahan serta lebih berhati-hati. Takut-takut ada bonggol lagi di hadapan.
"Awak tahu tak, masa saya kecik-kecik dulu saya tak panggil bonggol jalan ni bonggol tau, " beritahu saya.
"Iye ke? Habis tu awak panggil apa?" tanya isteri.
"Saya panggil "debok-debek" je".
"Mana datang perkataan tu?" tanya isteri lagi.
Saya menyambung, "Dulu keluarga kami hanya ada kereta terpakai jenama Opel. Kereta itu agak uzur. Setiap kali langgar bonggol jalan, akan terhasil bunyi,
"Debokkk (bunyi absorber tayar depan)... debekk (bunyi absorber tayar belakang)..."
"Bermula dari situlah saya, abang dan kakak panggil bonggol jalan sebagai "Debok-debek".
Isteri menekup mulut menahan gelak. Akhirnya kami ketawa bersama.


Terima kasih kerana memberi komen yang baik.